Posted by
CAHAYARABBI
on
- Get link
- X
- Other Apps
Mengumpat
atau menceritakan sesuatu tentang orang lain, yang mana jika dia
dengar, dia tidak suka, hukumnya adalah haram. Dan itulah definisi yang
Nabi s.a.w sebutkan di dalam hadith bila ditanya apakah makna الغيبة
atau mengumpat.
Lalu ditanya ; kalau apa yang aku sebut itu
benda betul, adakah juga dikira mengumpat? Nabi s.a.w menjawab ; Jika
apa yang disebut itu betul, itu mengumpat namanya. Jika apa yang disebut
itu tidak betul, itu fitnah atau dusta namanya.
Itulah
asasnya. Namun, ada beberapa keadaan yang dibolehkan mengumpat atau
menceritakan keburukan tersebut. Kata Al-Imam An-Nawawi dalam Riyadhus
Solihin, ada 6 kategori mengumpat yang dibolehkan.
1) Seseorang
yang dizalimi, maka dia boleh mengadu kepada hakim atau polis atau
sesiapa yang mampu mengekang kezaliman tersebut, dengan menceritakan
bahawa seseorang telah menzalimi dia dan meminta supaya diambil
tindakan.
2) Meminta pertolongan untuk mengubah sesuatu
kemungkaran atau kejahatan. Maka dia boleh cerita kepada pihak yang
diharapkan untuk bendung kemungkaran tersebut bahawa seseorang telah
melakukan sekian dan sekian. Tapi kena ingat, objektifnya mestilah
semata-mata untuk memastikan kemungkaran atau kejahatan tersebut
terbendung dan tidak terkena pada orang lain pula. Kalau objektif selain
itu, hukumnya haram.
3) Meminta fatwa atau pandangan dari
orang-orang alim. Maka boleh dia cerita contohnya suami aku telah
berbuat sekian dan sekian, apa yang perlu aku buat, patutkah suami
berbuat sedemikian dan sebagainya. Tapi disarankan juga supaya minta
fatwa secara umum, tanpa sebut pihak mana-mana. Contohnya ; apa pendapat
tuan guru tentang seorang lelaki yang melakukan sekian dan sekian
kepada isterinya?
4) Mengingatkan ( التحذير ) atau menasihatkan
kaum muslimin tentang bahaya sesuatu fahaman sesat atau bid'ah yang
dibawa oleh seseorang, supaya kaum muslimin tidak terjebak dengan
kesesatan tersebut.
5) Menyebut tentang seseorang yang kaki
arak, kaki judi, kaki zina, kaki pencuri, yang mana perbuatan-perbuatan
tersebut dibuat secara terbuka ( public ) dan boleh dilihat oleh semua
orang. Maka boleh juga diceritakan kepada orang yang boleh mencegah
perbuatan tidak baik tersebut.
6) Sebut sesuatu tentang
seseorang supaya mudah kenal. Contohnya ada dua Pak Mat dalam satu
kampung. Maka Pak Mat pertama dipanggil Pak Mat Ikan, kedua dipanggil
Pak Mat Ayam, sebab seorang tauke ayam, seorang tauke ikan. Yang
penting, tujuannya adalah supaya mudah kenal dan bukan dengan gelaran
yang merendah-rendah atau mengandungi unsur-unsur menghina. Walaupun
diharuskan untuk panggil Timah Pekak atau Timah Buta sekiranya sudah
dikenali ramai dengan panggilan tersebut, namun sebaiknya gunakanlah
panggilan yang lain, yang juga orang boleh kenal.
Kesimpulannya, mengumpat hukumnya haram kecuali dengan tujuan-tujuan
yang syar'ie ( لمقصد شرعي ) sebagaimana disebutkan di atas.
Ramai orang cakap, ada mengumpat yang harus, tetapi mereka tidak pula
tahu apa jenis-jenis yang harus dan setakat mana had yang dibolehkan.
Jadi, sebar-sebarkan, mudah-mudahan kita tidak terlanggar batasan yang
haram tersebut.
Wallahua'lam.
Rujukan : http://www.awqaf.ae/Fatwa.aspx?SectionID=9&RefID=3052
- Get link
- X
- Other Apps
Comments
Post a Comment